^^JOM SINGGAH^^

JOM SINGGAH on Facebook

Feb 19, 2013

Antara Pangkat dan Impian


Jumpa artikel nie kat MohdHisyam.com , semoga mendapat iktibar dari cerita.. sedih baca cerita nie..

3 tahun lepas, aku seakan bermula semula dari “0″. Aku terpaksa meminjam duit dari adik perempuanku(dengan agreement bertulis) untuk dijadikan modal pergi bekerja. Tidaklah banyak, hanya RM150 sahaja. Namun sangat bermakna pada aku yang benar-benar kontang ketika itu. Jumlah itulah segala-galanya untuk keperluan sementara mendapatkan gaji pertama.
Aku bekerja di sebuah kilang. Bekerja bersama2 warga Nepal & Bangladesh. Tinggal dihostel berkongsi tilam dengan ramai orang. Makan bersukat. Biasanya bajet makan hanya RM2 sehari, malah seringkali terpaksa dikurangkan sehingga 0.60sen sahaja. Terima kasih kepada makcik yang selalu menjual nasi goreng kosong dengan harga 0.60sen kepadaku, walhal harganya adalah RM1. Seperti dia tahu kesusahanku ketika itu, walau tidak pernah aku zahirkan. Banyak ruang perut aku isi dengan air suam, kadang2 sampai 3 liter sehari.Keadaanya lebih perit bilamana tiba shift malam. Pukul 2-4 pagi biasanya adalah masa tidur yang paling nyenyak. Namun kami lencun dengan peluh.Seolah bekerja di bawah panas matahari. Memang selayaknya begitu, kerana aku bersama pekerja2 lain bekerja di bahagian produksi yang sedia panas. Kilang membuat Tilam & Bantal!
 Sebelumnya, beberapa tahun sebelum ini, aku biasa bekerja di bahagian pengurusan, pentadbiran dan pemasaran. Agak mewah dengan kemudahan yang disediakan oleh pihak majikan.Lantas roda kehidupan berputar laju ke bawah. Memberi aku peluang merasakan hidup sebagai buruh kilang bersama warga asing!
 Satu perkara yang aku bersyukur pada masa itu ialah, aku tidak pernah meninggalkan solat, juga berjemaah di masjid andai tidak terikat dengan waktu kerja. Mengenang kembali hari-hari itu, aku yakin itulah satu-satunya “dahan” kukuh tempat aku berpaut. Andai waktu bekerja bermula pada jam 8.15, aku akan iktikaf di Masjid mulai dari solat subuh hinggalah terbit matahari, dan di akhiri dengan solat sunat dhuha sebelum pergi kerja dengan berjalan kaki. Amalan ini memberikan aku satu perasaan yakin bahawa aku berada dalam lindunganAllah. Khususnya dalam bab rezeki.
 Bila bulan Ramadhan tiba boleh dikatakan setiap hari aku berbuka di masjid. Aku masih ingat pada tahun itu, Raya Puasa & haji aku tidak pulang berhari raya di kampung. Self esteem aku jatuh ke tanah. Aku rasa malu untuk bersemuka dengan adik2 dan orang kampung. Hanya telefon penghubung rindu pada adik-adik. Sebenarnya jarak antara tempat aku merantau tidaklah jauh. Kurang dari 20km.Namun tiada siapa yang tahu aku di situ. Ini memang disengajakan. Aku perlu bersendirian dulu. Perlu mengutip kembali serpihan maruah yang jatuh berkecai.
 Di kilang, tidak ada seorang pun yang tahu tentang pengalaman kerja aku sebelum ini. Apabila aku menyarungkan uniform kerja, aku kelihatan tiada bezanya dengan para pekerja warga asing itu. Aku pun lebih selesa dengan keadaan begitu. Namun aku mempunyai impian yang tersemat di dalam dada. Impian untuk mengubah putaran roda kehidupan ini agar bergerak ke atas semula. Impian ini hanya aku kongsian denga ibu!
 Sungguh sedih mengenangkan keadaan aku ketika itu. Aku tidak mampu membalas sms “kekasih” yang ingin bertolak pergi melanjutkan pelajaran ke selatan, .Begitulah hari2 seterusnya, aku hanya mampu berdoa agar dia tetap maju dalam pelajarannya. Namun bilamana aku sudah mempunyai sedikit wang, aku cuba menghubunginya. Berkali-kali aku memujuk,  namun sudah terlambat barangkali… Lantaran itu juga agaknya hubungan itu terhenti di setakat itu. Keadaan aku ketika itu bolehlah diibarakan bermula dari kosong..Tiada wang,tidak semangat,tiada jiwa, tiada segala-galanya… Namun aku masih bersyukur kerana terus diberi kekuatan untuk menjaga solat…Solat adalah punca mudahnya rezeki . Itulah kata2 orang alim yang pernah aku dengar.
 Beberapa bulan selepas itu, kilang tempat aku bekerja membesarkan operasinya. Aku memohon jawatan sebagai kerani. Alhamdulillah berhasil. Maka jawatan buruh sudah aku tinggalkan. Aku berpeluang mengenali lebih ramai lagi orang2 kanan syarikat. Aku juga berpeluang menyalurkan bakat dan pengalaman sebelum ini pada jawatan baru itu. Aku rasakan tugas sebagai kerani mudah, kerana adanya pengalaman sebelum ini. Tahun-tahun sebelumnya aku pernah memegang jawatan di bahagian pengurusan, pentadbiran juga pemasaran dibeberapa buah syarikat. Namun aku perlu berhati2 takut2 ada yang perasan aku cuba berlagak pandai pula. Biarlah mereka melayan aku sebagai seorang kerani, dan memang itulah realitinya ketika itu.
 6 bulan selepas itu, Syarikat mendapat tender khas dari Kementerian Pendidikan. Projek Khas ini memerlukan seseorang untuk membuat marketing & lawatan ke Seluruh Malaysia. Pada kesempatan ini, aku cuba menawarkan diri. Akhirnya aku dilantik pula sebagai Marketing Exec dengan beberapa kemudahan yang agak selesa. Alhamdulillah…Aku senang sekali menjalankan tugas ini, kerana ia bukanlah merupakan pengalaman baru. Sejak itu, aku aku harus berpakaian smart lengkap dengan tali leher pula. Kawan2 nepal & bangladesh mula memanggil aku “bos”. Aku tersenyum sendiri mengenangkan semua ini..
 Selang beberapa bulan selepas itu, aku mendapat khabar syarikat ada mendapat satu lagi projek nun jauh di Pantai Timur. Projek ini agak unik dan merupakan cabang perniagaan baru syarikat. Aku teruja mendengar khabar ini. Sebelum ini aku memang mempunyai impian untuk merantau jauh. Sejauh mungkin untuk melupakan seketika segala kepahitan yang dialami di sini, Kuala Lumpur. Aku ingin memulakan kembali sebuah kehidupan yang baru. Namun pada hakikatnya kemampuan kewangan tidak mengizinkan. Akhirnya mahu atau tidak aku perlu mencari satu kerja yang tidak banyak kos. Kerana itu aku memilih bekerja di kilang, sekurang2nya tempat tinggal sudah disediakan. Dengan RM150 yang aku pinjam dari adik, aku dapat rolling untuk sebulan. 
Dengan gaji bersih Rm700, aku dapat bayar kembali hutang itu, malah dapat juga menyumbang kepada keluarga. Pada bulan2 awal itu, aku hanya menggunakan 20 % sahaja dari gaji untuk kegunaan sendiri, dan selebihnya aku serahkan pada keluarga. Aku boleh hidup dengan RM140 sebulan! Alhamdulillah..sungguh barakah! Sebagai anak yang sulung, aku tidak mungkin lari dari tanggungjawab itu. Jauh di sudut hati, aku percaya rezeki yang murah ini adalah kerana doa ibu yang tidak putus2…Ibu adalah orang yang paling memahami segala apa yang berlaku termasuk juga impian aku..Aku tidak segan2 untuk memberitahu ibu, agar tolong doakan impian aku untuk memiliki wang yang banyak. Biar sampai bergelar jutawan, agar dengannya punca2 bermulanya episod pahit itu dapat ditamatkan.
 Projek Pembelian Jet Tempur (Sukhoi 30 MKM) oleh ATM dari Rusia, telah memberi satu peluang perniagaan kepada syarikat tempat aku bertugas. Jet itu akan sampai beserta dengan warranty team yang akan tinggal di Malaysia sepanjang tempoh warrantypembelian jet itu. Ada 35 buah apartment khusus untuk menempatkan warranty team dari Rusia ini. Satu kawasan khas yang berpagar di dalam kem gong kedak. Setiap unit apartment dilengkapi dengan segala kemudahan hinggalah Astro dan streamyx.  Syarikat tempat aku bekerja ini bertanggung jawab menyediakan kemudahan tersebut, sepanjang mereka berada di sini. Maknanya syarikat juga memerlukan seseorang untuk mengelola projek tersebut.Aku ada memohon jawatan itu(secara tidak formal) melalui salah seorang, orang kanan syarikat. Minggu berganti bulan namun masih tiada jawapan..
 Aku terus tenggelam dalam kerja2 marketing. Melawat dari satu sekolah,kolej & universiti serta jabatan2 kerajaan lainnya. Ada yang di tengah bandar hinggalah di tengah hutan (jabatan perhilitan). Kerja ini membolehkan aku memandu hampir ke seluruh Malaysia & menginap di pelbagai tempat. kadang2 di tepi laut, kadang-kadang di kesesakan bandar hinggalah dipinggir2 bukit yang cukup aku gemari. Pada satu hari sedang aku sedang berada di UITM Melaka, aku mendapat panggilan yang menyatakan  bakal ditransfer untuk mengendalikan projek baru itu. Oh! Alhamdulillah…
 Mulai 5/6/2007 aku bertugas di sini, di dalam kem gong kedak, Jerteh, Terengganu. Kawasan ini agak terpencil. Bagaikan berada di satu lembah yang dikelilingi bukit. Memang agak tersorok dan sesuai untuk menempatkan jet2 sukhoi itu. Di sini kemudahan yang aku nikmati persis sebagaimana yang dinikmati oleh keluarga Rusia itu. Segala2nya sudah tersedia, Rumah(dengan segala kelengkapannya),Kereta,Hp,Astro,Streamyx beserta dengan kenaikan gaji & yang lebih menarik lagi kedamaian penempatan ini. Terletak di bawah bukit puteri yang sejuk dan damai dengan hembusan angin pantai yang tidak henti2. Terletak hanya 13 km dari kuala besut, di mana letaknya jeti ke Pulau Perhentian. Malah masjid baru yang besar dan cantik hanya terletak 1 km dari apartment yang aku diami. Oh! aku bersyukur pada Allah, yang menentukan takdir ini….setahun yang lepas, aku berkongsi tilam dalam hostel yang sempit dan terpaksa menyukat makan serta berjalan kaki ke kilang. Hari ini, aku dianugerahkan keselesaan yang begini rupa…Sesungguhnyan Allah maha pemurah dan maha mengetahui takdir yang terbaik untuk hambanya.
 Setelah hampir setahun aku di sini, aku mendapat satu lagi rezeki besar. Aku bertemu jodoh.Kami tidak pernah kenal dan berjumpa sebelumnya. Perantaranya adalah seorang askar yang berpangkar sarjan yang sering aku temui di surau. Satu hari dia bertanyakan samada aku ingin “berkawan” dengan seseorang. Aku mengiyakan. Dia memberikan no hp  si dia. Aku masih ingat ketika itu adalah bulan ramadhan. Dengan sedikit maklumat itu, akhirnya aku dapat bernikah pada usia 36 tahun. Tepatnya pada 4/8/2008.Kami bernikah secara ringkas. Kawan2 memang terkejut, kerana “tiada angin bertiup tapi pohon bergoyang”. Semuanya aku uruskan sendiri dengan bantuan 2-3 orang kawan baru di sini. Tidak mungkin aku lupakan jasa abg samsul & hj nasir serta sarjan ku zaidi yang menemaniku pergi merisik. Juga Joe yang menemani aku ke rumah bakal ayah & ibu mertuaku beberapa hari sebelum tarikh bermakna itu. Allah maha kaya…maha mengetahui yang terbaik untuk hambaNya. Mengenang semua ini, aku sangat bersyukur padaNya. Dua tahun lepas, aku tiada apa2. Hanya bermodalkan RM150 yang dipinjam dari adik. Hari ini, aku memiliki isteri & kerja yang datang berserta dengan segala kemudahan logistik.
 Dalam hal ini, sebenarnya ibu adalah orang yang paling gembira. Lama benar ibu mendoakan agar aku segera bertemu jodoh. Maklumlah usia semakin meningkat. Ibu risaukan andai aku jatuh sakit, dia bimbang tiada siapa yang menjaga. Ibu juga bukanlah sihat sangat. Malah tidak berdaya datang pada majlis pernikahanku di sini. Hanya doa yang mengiringi. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Segala persiapan aku rancang sendiri. Beberapa orang kawan banyak membantu. Maklumlah aku sebatang kara di sini.
 Beberapa bulan yang lepas, aku mendengar lagi khabar bahawa syarikat mempunyai rancangan untuk membuka sebuah lagi kilang. Ini juga merupakan satu lagi projek baru. Kilang memproses tumbuhan kenaf. Aku selalu melihat orang-orang kanan syarikat berurusan dengan pihak Korea. Boleh jadi Mesin memperoses itu dibeli dari Korea. Andainya projek ini jadi, tentu pihak syarikat memerlukan seseorang untuk mengurus kilang tersebut. Zahirnya ini merupakan satu peluang lagi untuk aku maju di syarikat ini.
 Beberapa hari yang lepas aku dikhabarkan bakal dilantik untuk mengurus kilang itu. Khabar itu datang dari suami CEO syarikat ini. Khabar secara verbal sahaja. Bermakna aku mungkin dinaikkan pangkat menjadi salah seorang manager di syarikat ini.  Sepatutnya aku rasa bangga dan seronok mendengar berita ini. Bayangkan bermula sebagai operator kilang berhasil menjadi manager kilang dalam tempoh yang singkat. Aku ada menelefon ibu memaklumkan hal ini. Dia cukup seronok mendengarnya.Katanya doanya siang dan malam bakal dimakbulkan Allah..
Kredit : Fathuri.com
http://www.klinikmotivasi.com/blog/antara-pangkat-dan-impian/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...