Sumber : I Luv Islam
Topik yang mahu saya kongsikan pada kali ini ialah"Maruah VS Nyawa. Yang Mana Lebih Berharga?"
Antara pendapat yang agak menarik perhatian saya ialah semasa berdiskusi dengan para pelajar saya.
Hiruma Youichi: 'Ok
cuba kalau ko hidup tapi tak ada maruah langsung,orang panggil ko benda
pelik-pelik macam ko ni sampah masyaraka lah itulah, inilah. Kalau ada
maruah masa mati orang ingat lagi, dengan maruah je ko boleh terus
hidup.'
Sara Sapura: 'Aku
rase la maruah . Sebab maruah merupakan kehormatan diri yang mesti di
jaga dan Allah sudah pun pertanggungjawab kita untuk di jaga.'
Layla Ashla: 'Maruah la sebab mana hendak cari ganti kat dunia ni. Bak kata ustazah Aishah mana ada 'spare part' kat dunia ni.'
Rata-rata memilih 'maruah' sampaikan saya terfikir:
"Eh, tak ada pun yang pilih nyawa. Nyawa ni tak penting ke?"
Hmm..saya
mengingatkan diri saya bahawa semua pendapat ini adalah daripada remaja
yang berumur 14 tahun sahaja. Jari-jemari saya mula rancak menari di
atas papan kekunci komputer riba saya.
Saya
agak teruja untuk mengutarakan pendapat saya. Tidaklah begitu bernas
dan jitu tetapi saya gemar berdiskusi mengenai hal sebegini rupa.
Sebelum itu, saya teringat akan satu firman Allah S.W.T dalam Surah
as-Syu'ara.
Kelam-kabut
saya dibuatnya semasa mencari buku yang mengandungi ayat al-Quran itu.
Al-maklumlah saya ini bukanlah berpengetahuan luas dalam bidang ilmu
agama. Tersangat cetek ilmu agama saya ini.
Nama
sahaja seorang Muslim tetapi tidak mahir dan berpengetahuan dalam agama
sendiri. Malu sungguh saya pada diri sendiri dan pada Pencipta saya.
Seakan-akan saya ini seorang yang bertopengkan Islam sahaja.
Astaghfirullah.
Kembali
semula kepada topik tadi. Baiklah. Izinkan saya mengutarakan pendapat
peribadi saya sendiri. Sebelum itu, ampunkan saya jika terdapat
percanggahan dan kesilapan dalam saya membentangkan pandangan saya.
Apa itu maruah dan nyawa?
Menurut
Kamus Dewan Edisi Ketiga, maruah bermaksud keberanian, kegagahan,
kehormatan diri dan harga diri. Manakala nyawa pula bermaksud roh yang
menghidupkan manusia (haiwan dan lain-lain), jiwa dan semangat.
Jika
kita ditanya dengan soalan sebegini rupa, mungkin agak sukar bagi kita
untuk memilih antara 'maruah' dan 'nyawa'. Bagi saya, kedua-duanya amat
penting dan berharga dalam kehidupan manusia. Jadi, setelah bertafakur
sebentar, saya membuat keputusan untuk memilih maruah dan nyawa.
Allah S.W.T telah berfirman di dalam Surah as-Syu'ara ayat 83-84 yang bermaksud:
"Wahai
Tuhanku, berikan daku ilmu pengetahuan agama dan hubungkanlah daku
dengan orang-orang yang soleh. Dan jadikanlah bagiku sebutan yang baik
(nama yang harum) dalam kalangan orang-orang yang datang kemudian. Dan
jadikanlah daku daripada orang-orang yang mewarisi Syurga Jannatun
Naim."
Ini adalah doa Nabi Ibrahim a.s kepada Allah S.W.T. Cuba perhatikan ayat yang saya highlightitu. Sedangkan Nabi Ibrahim a.s pun meminta nama yang baik dalam kalangan manusia.
Kenapa kita pula tidak mahu nama yang wangi? Nama yang baik datangnya daripada maruah yang terpuji.
Benar
pandangan pelajar saya bahawa maruah itu penting bagi seseorang. Tanpa
maruah diri maka hilanglah nilai seseorang itu. Jika hilang nilai
sebagai seorang manusia, jadi apakah ia masih boleh dipanggil manusia?
Sebagaimana
yang kita ketahui, Islam sangat mementingkan maruah diri. Oleh sebab
itu, Islam telah menggariskan pelbagai panduan yang perlu umat Islam
patuhi. Contohnya menutup aurat, cara pergaulan, percakapan, tingkah
laku dan sebagainya.
Mengapa
Allah S.W.T menyuruh kita mematuhi semua yang ditetapkan untuk menjaga
maruah diri? Tujuan utama kita diwajibkan menjaga maruah diri ialah
supaya kita dijauhi daripada maksiat.
Maruah
juga melambangkan harga diri seseorang dan sesuatu bangsa. Sebagai umat
Islam, kita perlu tahu apa itu maruah diri seorang Islam supaya dapat
menjaga kehormatan diri dan kesucian agama Islam itu sendiri.
Pada
masa kini, banyak mata yang memandang serong kepada Islam. Mereka
sedaya-upaya mencari kelemahan dan kesalahan umat Islam. Pendek kata,
maruah adalah nilai diri kita, hidup mati kita, kita mesti memiliki dan
mempertahankannya walaupun terpaksa mengobankan harta dan nyawa.
Maruah
tidak boleh digadai atau dijual beli. Demi menjaga maruah, darah dan
nyawa menjadi tebusan. Begitulah tingginya harga maruah pada manusia.
Memanglah
maruah itu tidak dapat dilihat dan disentuh tetapi kita boleh merasai
bahawa maruah itu wujud dalam diri kita. Sifat yang paling hampir dengan
maruah adalah malu. Jika perasaan malu itu masih tersemat dalam
diri,Insya-Allah maruah diri akan sentiasa terpelihara.
Sekarang
kita lihat kepada kepentingan nyawa pula. Islam amat mementingkan
keselamatan nyawa kerana nyawa adalah anugerah Allah S.W.T yang sangat
berharga dan sebarang perbuatan yang cuba mengancam anugerah tersebut
amatlah dicela. Jadi, tidak pentingkah nyawa bagi kita?
Firman Allah S.W.T:
Dan
janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya
kebinasaan dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan)
perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang- orang yang
berusaha memperbaiki amalannya. (Al-Baqarah 2:195)
Diriwayatkan dari Jundab r.a:
Nabi
Muhammad S.A.W pernah bersabda:"Seorang lelaki terluka dan bunuh diri,
maka Allah S.W.T berkata:"Hamba-Ku mendahului-Ku dengan membunuh dirinya
sendiri maka Aku haramkan syurga untuknya."
Fenomena
bunuh diri amat membimbangkan dalam kalangan masyarakat pada hari ini.
Jika ditimpa masalah sahaja, jalan penyelesaiannya ialah bunuh diri.
Dangkal dan naif sungguh pemikiran ini.
Tidak
sedarkah wahai manusia, Allah S.W.T tidak akan menguji dan membebankan
diri kita dengan sesuatu kecuali sesuai dengan kemampuannya. Senario ini
memberi gambaran bahawa nyawa langsung tidak ada makna dalam hidup
seseorang.
Nyawa
yang yang dimiliki bagai dipandang enteng. Allah S.W.T dan Rasulullah
S.A.W melarang kita daripada melakukan kezaliman kepada diri sendiri.
Ini adalah satu contoh yang boleh saya kaitkan dengan nyawa kita.
Mari
kita bermuhasabah sebentar. Apa tujuan kita dilahirkan di dunia ini dan
mengapa Allah S.W.T mengutuskan Malaikat untuk meniupkan roh kepada
kita semasa proses penciptaan manusia?
Adakah semata-mata mengejar kemewahan dan keseronokan duniawi?
Ingatlah bahawa kita pernah berjanji kepada Ilahi semasa di alam roh dulu. Apa janji kita pada Allah S.W.T?
Mungkin
ada yang tidak tahu yang kita pernah mengikat janji kepada Al-Khaliq.
Kita pernah mementerai satu perjanjian dengan Allah S.W.T di mana kita
mahu bertuhankan kepada-Nya. Ingatan buat diri saya dan kepada sesiapa
yang sedang membaca entry ini.
Nyawa
yang dipinjamkan oleh ar-Rahman adalah sangat bernilai. Jika dikumpul
harta kekayaan di seluruh dunia sekalipun tidak mampu membayar harga
sebuah nyawa. Sebagai seorang Muslim, gunakanlah nyawa yang diberikan
untuk mengejar syurga-Nya.
Setiap
mukmin yang panjang umurnya mempunyai banyak peluang untuk ia beramal
ibadat kepada Allah S.W.T sebagai bekalan di akhirat nanti. Jadi,
bolehlah saya menyangkal jika ada yang mengatakan nyawa itu kurang
penting jika dibandingan dengan maruah.
Ini
bukan bermaksud kita hanya perlu fokus kepada akhirat sahaja. Kita
hendaklah bersikap professional di antara dunia dan akhirat. Saya ada
terbaca satu hadis di dalam buku 'Hadis 40 Imam Nawawi' yang bertajuk
'Mengambil Dunia untuk Keselamatan Akhirat. Suka untuk saya kongsikan
hadis ini dengan anda semua.
Diriwayatkan oleh Ibn Umar r.a, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W telah memegang belakang beliau lalu bersabda:
"Jadilah
kamu di dalam dunia itu sebagaimana kamu seorang yang asing, ataupun
pengembara." Ibnu Umar R.A berkata: "Jika kamu berada di petang hari,
maka jangan kamu tangguh sehingga ke pagi hari keesokannya, dan jika
kamu berada pada waktu pagi, maka janganlah berrtangguh sehingga ke
petang hari."(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Hadis
ini mengingatkan setiap Muslim agar tidak terlena di dunia kerana kita
tidak sepatutnya menjadikan dunia ini sebagai tempat tinggal yang abadi.
Ambillah hanya sekadar keperluan sahaja yang mampu menjadi bekalan
dalam perjalanan kita ke akhirat sana.
Namun,
tidak dinafikan kita sering terlupa bahawa dunia yang kekal adalah
akhirat. Kita berlumba-lumba mengejar pangkat, wang dan sebagainya
seperti dunia inilah destinasi terakhir kita. Mungkin kerana itu, kita
sering mengeluh dan berasa kecewa tatkala diri dilanda musibah.
Dengan
menggunakan akal yang cetek dengan pengetahuan agama, kita merasakan
tiada sesiapa yang mampu membantu diri keluar daripada belenggu
permasalahan. Paling menyedihkan, sesetengah daripada kita mengambil
jalan pintas dengan membunuh diri.
Dia
seakan-akan lupa akan matlamat kehidupan di bumi ini dan mengapa Allah
S.W.T mengurniakan nyawa kepada dirinya. Na'uzubillahimin alik. Semoga
perkara ini tidak terjadi kepada diri saya dan anda semua.
Saya tertarik hati dengan pendapat yang diutarakan oleh teman seperjuangan saya di SMAN:
Aisah Sekbong : 'Nyawa
tu penting kerana tanpa nyawa jasad tiada gunanya,dengan nyawa kita
mampu untuk mengutip sebanyak mana bekal bagi meneruskan perjalanan
menuju alam yang abadi bagi menikmati bekal yang dibawa,nyawa penting
kepada umat Islam dengan nyawa kita boleh mempertahankan Islam,tanpa
Islam nyawa juga tiada gunanya, sebab itulah para pejuang sanggup
kehilangan nyawa demi Islam,nyawa itu adalah roh, jasad yang syahid
bersama Islam akan menjamin rohnya dapat bertemu Rabuljalil dalam
keadaan yang diredhai maka bahagia lah roh buat selamanya.'
Kesimpulannya
ialah maruah dan nyawa sangat penting kepada seseorang Mukmin. Saya
pasti bukan Islam sahaja yang menganjurkan supaya umatnya menjaga maruah
dan nyawa. Agama-agama lain pun begitu juga. Kata-kata terakhir saya
petik dari sebuah blog:
"Harga nyawa manusia bergantung kepada kewarasannya. Maruah manusia bergantung kepada nilai kemanusiannya."
Wallahualam.
credit - Fateh
No comments:
Post a Comment