Bulan Ramadhan selalu di alu-alukan bagi umat Islam. Bukan sahaja ia adalah masa untuk menunaikan ibadat puasa tetapi memberi kesempatan untuk meraih sedikit wang lebih di pasar-pasar Ramadhan bagi mereka yang pandai memasak.
Inilah masanya untuk menikmati pelbagai kuih-muih yang tidak mudah didapati pada bulan-bulan lain. Pantai timur tidak dikecualikan. Sejak akhir-akhir ini, pelbagai kuih-muih tradisi sudah mula hilang kerana terlalu remeh untuk membuatnya. Kami menyajikan 5 jenis kuih Terengganu digemari ramai yang boleh dijumpai pada bulan Ramadhan.
No. 1- Akok, manis dan lemak, sesuap, maka kirim salamlah pada diet anda. Nasib baik orang-orang pantai timur ni makan lauk singgang yang dikatakan boleh merampingkan badan. Jadi dapatlah mengimbangkan kelemakkan kuih Akok. Akok yang terbaik dibancuh daripada santan perah, telur merah, tepung, gula nipa dan pati pandan. Ini dipukul menjadi bancuhan hijau muda dan kemudian dibakar di atas bara api daripada sabut kelapa. Mesti makan panas-panas!
No. 2- Lompat Tikang- Kuih yang amat cantik, berlapis hijau, putih dan bermakhkota pulut merah jambu. Tetapi perlu dinikmati dengan moderasi. Sum-sum hijau dibawah dibuat daripada tepung beras dan pandan, diatasnya santan masin dan gula nipa. Rasanya lemak-manis dengan kepahitan yang memberi kuih ini dimensi yang unik.
No. 3- Segumpal- Di pantai barat kuih ini lebih dikenali sebagai badak berendam. Ceritanya kuih ini mendapat namanya kerana setiap satu ‘digumpal’ dengan tangan menghasilkan kuih yang bulat dan comel. Ia mempunyai tekstur melekit, luarnya adalah sagu dan dalamnya kacang hijau yang telah dihancurkan. Sebalum dijual ia akan berendam di dalam mandian santan lemak-manis dengan kepedasan rasa halba dan halia.
No. 4- Mek Comey- Di Kelantan kuih popular ini dikenali sebagai Cek Mek Molek. Sayangnya namanya tidak serupa rupa. Lebih senang terserempak kucing bertanduk daripada terjumpa Mek Comey yang betul-betul comel. Rupa parasnya sederhana, lembut dan bewarna coklat keemasan diperbuat daripada adunan ubi kayu. Gigit Mek Comey ini dan cairan gula akan meleleh keluar. Memang betul kuih ni bakkan kuih keria yang diterbalikkan.
No. 5- Lok Lit- Ini memang rekaan Terengganu. Rupanya seiras Buah Gomok dan memang susah dijumpai walaupun di bulan Ramadhan. Ia juga bentuk bulat dibuat daripada kelapa parut, cairan gula nipa dan pulut yang ditumbuk halus. Ini dibulatkan menjadi lebih kurang bentuk bola ping pong. Cara terbaik untuk membuat kuih ini adalah dengan lesung kayu. Jikalau anda bernasib baik, kuih ini memang sesuai dijadikan juadah berbuka.
No comments:
Post a Comment