KETIKA MEREKA BERDUA Dl DALAM GUA
Sesampainya mereka ke gua berkenaan, kata Abu Bakr, “Demi Allah, Rasulullah jangan masuk, kecuali setelah hamba masuk dahulu, sekiranya ada sesuatu yang berbahaya biar terkena hamba dahulu”. Lalu beliau masuk ke dalamnya dan membersihkannya. Di sana, Abu Bakr mendapati sebuah lubang maka beliau mengoyak kainnya dan disumbatkannya dan beliau menyeru, “Sila masuk, Rasulullah”. Maka baginda pun masuklah. Abu Bakr meletakkan kepala baginda ke ribanya hingga baginda lena, di masa itu kala jengking menyengat kakinya yang terhulur ke dalam lubang, namun sedikit pun beliau tidak bergerak supaya Rasulullah tidak tersedar. Tetapi air matanya terjatuh ke muka Rasulullah. Kata Rasulullah, “Apa hal diri kau wahai Abu Bakr”. Jawab beliau, “Daku telah disengat, demi ibu bapaku korban untuk kau, ya Rasulullah”. Oleh yang demikian, Rasulullah menawarkan bekas sengatan tadi dengan ludahan baginda, maka segera hilanglah kesakitannya itu.
Selama tiga malam mereka bersembunyi di gua itu, iaitu malam Jumaat, Sabtu dan Ahad, Abdullah bin Abu Bakr turut tidur bersama-sama mereka, ujar Aisyah, “Abdullah adalah salah seorang pemuda berpengetahuan dan cerdik, menemani mereka di waktu malam. Di hujung malam beliau keluar dari sana dan berada di kalangan Quraisy di pagi hari menampakkan yang beliau bermalam di Makkah bersama Quraisy, beliau mendengar dan mengingati segala sesuatu yang diperihalkan di Makkah untuk dibawa kepada mereka berdua di tengah malam”. Manakala Amir bin Fahiirah orang suruhan Abu Bakr bertugas memelihara kambing untuk membekalkan mereka berdua dengan susu dan daging panggang, beliau menyampaikannya kepada mereka berdua setelah malam berlabuh dengan melaung dan menyebut perkataan, “susu dan daging” kepada mereka. Beliau melakukan ini di ketiga-tiga malam persembunyian itu, selain dari itu, Amir bin Fahiirah juga bertugas menghalau kambingnya di atas kesan-kesan tapak kaki Abdullah bin Abu Bakr supaya tidak dapat dikesan oleh pihak Quraisy.
Pihak Quraisy menjadi gila, setelah mereka yakin Rasulullah telah terlepas dari usaha jahat mereka itu. Apa yang dapat mereka lakukan ialah dengan melanyak Saidina Ali serta diseretnya ke Kaabah dan mereka mengurungnya dengan harapan memperolehi berita arah mana Rasulullah dan Abu Bakr melarikan diri. Setelah mereka tidak dapat memperolehi sebarang maklumat dari Ali, mereka menuju ke rumah Abu Bakr al-Siddiq pula, setelah mengetuk pintu rumah, Asma’ binti Abu Bakr pun keluar, kata mereka, “Mana bapa awak?”. Jawab Asma’, “Demi Allah, mana aku tahu ke mana dia pergi”. Sebelum beredar, Abu Jahal yang buruk akhlak itu, sempat juga menempeleng muka Asma’ hingga melayang sebelah subang di telinganya.
Dalam sidang tergempar Quraisy, mereka telah membuat keputusan segera, iaitu mengerah seluruh jentera yang ada untuk menangkap buruan yang lari itu, semua jalan masuk ke kota Makkah diletakkan dalam kawalan bersenjata api, dan pihak Quraisy menawarkan kepada sesiapa yang dapat menangkap mereka berdua hidup atau mati dengan hadiah yang lumayan, iaitu seratus ekor unta untuk seorang.
Di ketika itu seluruh pahlawan penunggang kuda dan pejalan kaki serta tukang pengesan tapak kaki, seluruh mereka bertebaran ke pelusuk sekitar Makkah di lembah-lembah dan di bukti-bukit, di dataran mahupun di gua, namun kesemua mereka tidak berjaya. Mereka yang memburu tadi sempat juga sampai ke pintu gua Thur, tetapi Allah yang menguasai di atas segalanya. Imam al-Bukhari menceritakan dalam riwayatnya dari Anas dari Abu Bakr katanya, “Semasa aku bersama dengan Rasulullah di dalam gua, aku mendongak kepalaku, tiba-tiba aku melihat kaki-kaki Quraisy dari celah batu. Kataku,Wahai Rasulullah! kalaulah di antara mereka tunduk ke bawah, nescaya mereka dapat melihat kita di sini. Jawab Rasulullah, “Berdiam sahajalah, kita berdua, Allah yang ketiga bersama kita, dalam lafaz yang lain aku meyakini bahawa Allah bersama-sama kita”.
Sebagai mukjizat Allah yang dianugerahkan kepada RasulNya mereka telah beredar pulang dari situ meskipun hanya beberapa langkah sahaja dari situ Rasulullah sedang bersembunyi.
No comments:
Post a Comment