Wan : Sorang je, awek mana?
Roy : Awek? Haha...Aku solo lagilah bro.
Wan : Aik?? Takde awek? Pelik aku, muka macho, poket penuh...ape cite?
Roy : Enjoy dulu la bro. Apa barang awek-awek ni?
Wan : Ha..! Ni mesti kes kau jual mahal lagi kan?
Roy : Hahaha...Mane ade, aku segan la bro. Awek tu baik sangat macam malaikat. Aku ni dah ler macam hantu. Bagai langit dengan bumi bro.
Wan : Pulak dah. Bro, kalau dah suka kata suka. Kalau melepas..telan air liur je lah alamatnye. Haha...Meh aku nyanyi kat kau sikit. "Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama diambil orang". Hahaha...
Roy : Rilex la bro. Aku taknak lah nampak macam terhegeh-hegeh.
Wan : Ah! Kau tak abes-abes bagi alasan. Jantanlah sikit. Esok aku teman kau, apemacam?
Roy : Aku tak bersedia lagilah. Lagipun semalam kau tak dengar ke Bro Zaki cakap ape?
Wan : Baitul Muslim ke? Haha...aku semalam kat planet plutolah. Penat la..Hehe..
Roy : Kau ni memang, bab agama tangkap lentok, bab awek cepat kau reaktif. Baitul Muslim tu maksudnya kita gunakan orang tengah untuk approach orang yang kita sukalah. Tapi orang tengah tu sebolehnya sudah berkahwin, boleh dipercayai, alim dan arif dalam bidangnya.
Wan : Nape susah-susah nak guna orang tengah, kan bagus straightforward je kat minah tu?
Roy : Bagi aku bro, aku hargai cinta aku pada dia. Aku ingin hormati dia sebagai seorang perempuan walaupun belum tentu dia terima aku. Aku nak perasaan aku terhadap dia halal dan paling penting diberkati Allah. Aku tak mahu hubungan yang bakal aku bina bersama dengan dia disaluti dengan hawa nafsu dan bisikan syaitan.
Wan : Tapi bro, bukan ke cinta itu fitrah? Perasaan semulajadi yang Allah titipkan ke hati semua manusia? Salah ke nak ucap "I luv U" je?
Roy : Yup bro! Cinta itu fitrah, kita bebas nak bercinta dengan sesiapa dan bagaimana. Tapi bro, bebas jangan sampai terbabas. Sebab itu agama islam indah, kita boleh tengok sirah Nabi SAW sendiri. Siti Khadijah RA yang mula jatuh cinta kepada Rasulullah SAW lantas menyuarakan keinginannya melalui orang tengah yang dipercayai iaitu Nafisah binti Manbah agar merisik Rasulullah SAW untuk dirinya.
Rasulullah SAW pun menyambut baik tawaran itu dan memberitahu kepada bapa-bapa saudaranya. Akhirnya melalui bapa saudara baginda yang bernama Amru bin Asad, Rasulullah meminang Khadijah RA. Jika direnung kembali, bukankah peristiwa ini sungguh memberikan erti yang cukup relevan untuk penyelesaian masalah pengurusan cinta yang "terlarang"?
Sunnah itu telah ditunjukkan oleh Allah dengan jalan terbaik yang dilakukan oleh baginda, maka bukankah sewajarnya kita perlu mengikuti sesuatu yang terbaik dari Rasulullah SAW sendiri?
Wan : Panjang kau ceramah bro. Haha..Walaupun aku seorang yang percaya dengan keajaiban doa, tapi aku juga percaya dengan konsep usaha. Mana ada awan tanpa adanya proses kondensasi, dan mana ada bunga tanpa adanya proses pendebungaan. Semuanya memerlukan proses, Allah pun takkan ubah nasib kita melainkan kita sendiri yang akan ubah nasib kita sendiri. (Surah Ar-Ra'd, ayat 11) Betul tak bro?
Roy : Betul tu bro. Kita tak boleh biarkan kemanisan bercinta dihirup sebelum berkahwin dengan ‘si dia’. Dan bercinta dengan sederhana sahaja. Kelak mungkin ‘si dia’ bukan jodoh untuk kita. Jika kita ingin berbahagia seumur hidup, kita kenalah tahan diri untuk berbahagia sebelum 'si dia' halal untuk kita. Jika kita sudah menyintainya, kita perlu bina asas perkahwinan dengan tidak melanggar syariatNya. Kebahagiaan yang kita lihat sebelum berkahwin hanya palsu, yang hakikatnya adalah selepas diijabkabulkan.
Lagipun jika kita inginkan pasangan hidup yang terbaik untuk kita, maka kitalah yang patut menjadi yang terbaik dahulu. Membina keserasian sebelum berkahwin bukanlah dengan cara berdating, cukuplah sekadar kita tahu apa yang perlu kita tahu. Bercinta dengan manusia untuk mencapai cintaNya. Usah biarkan nafsu terliur dengan cinta yang tidak diterima di sisi Allah, kelak Allah akan tarik kebahagiaan daripada kita.
Wan : Selamat bercinta sampai ke syurga bro! Banyak yang aku tak tahu pasal cinta. Aku kira aku sudah banyak tersimpang jauh dengan awek aku. Tapi aku harap aku tidak terlambat untuk aku perbetulkan segalanya. Hubungan aku dan dia tampak indah tapi...
Roy : Dan siapakah yang membawa kita melihat semua ini indah bro?
“Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan (syirik) mereka, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar); oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk,” (Surah An-Naml ayat 24).
Itulah dia syaitan yang telah menghiasi semua kemungkaran itu dengan keindahan, agar kita tertarik untuk melakukannya. InsyaAllah Allah SWT itu Maha Adil, kita masih punya waktu untuk kembali semula kepadaNya, bro.
"Jika mereka sibuk mencari CINTA, biarlah kita sibuk mencari IMAN. Jika mereka sibuk mencari PASANGAN, biarlah kita sibuk mencari KEREDHAAN. Jika mereka menangis kerana kecewa BERCINTA, biarlah kita menangis kerana DOSA-DOSA semalam. Jika mereka cintakan HAMBANYA, biarlah kita cintakan TUHANnya. Jika mereka mendambakan kehidupan DUNIAWI, biarlah kita dambakan dunia UKHRAWI."
Suka entry ni ? Ringankan tangan anda untuk tekan button like yeah ! Thanks
No comments:
Post a Comment