^^JOM SINGGAH^^

JOM SINGGAH on Facebook

Jan 11, 2012

Fokus Rahsia Kejayaan Terulung

MASALAH KURANG FOKUS



Masalah kurang fokus adalah suatu penyakit lesu yang disebabkan oleh daya tumpuan yang lemah terhadap sesuatu pekerjaan. Orang yang memiliki penyakit ini  selalunya mengalami kekacauan pemikiran, otak melayang, kehilangan dorongan dan gerak hati, serta keresahan atau kegelisahan yang berpanjangan.


Penyakit ini selalunya melanda mereka yang suka membuat pelbagai kerja dalam satu masa. Pernahkan anda mengalami keadaan di mana anda ingin melakukan suatu perkara, tetapi pada akhirnya, perkara lain pula yang terjadi. Contohnya, anda ingin mengulangkaji pelajaran, tetapi pada akhirnya, anda tidur pula di meja belajar. Atau dalam kes lain, anda ingin membeli buku-buku ilmiah, tetapi di hujungnya, tertukar pula menjadi majalah-majalah hiburan.
Ini semua disebabkan oleh masalah kurangnya kefokusan terhadap matlamat atau destinasi yang ingin dituju.

INSPIRASI DARIPADA KISAH KATAK

Di negara katak, pada suatu pagi yang hening dan bening, berserulah Raja Katak dalam tiupan angin sepoi-sepoi bahasa:

“Wahai rakyat sekalian!! Hari ini beta ingin mengadakan pertandingan memanjat menara! Sesiapa yang berjaya sampai ke puncak, maka beta akan kahwinkan dengan Puteri beta!!”



Alkisah, maka banyaklah katak-katak muda belia yang menyertai pertandingan tersebut. Tidak kurang daripada 100 ekor bilangannya. Semuanya berbaris di belakang garisan putih yang dibuat tepat di hadapan salah satu tiang menara.

Kaki tiang menara ini terbahagi oleh tiga tiang besi yang memanjang secara horizontal. Jarak di antara ketiga-tiga tiang besi ini cukup jauh.
“1…2…3!!! Priiittt!!!” Wisel dibunyikan dan perlumbaan pun bermula.
Semua peserta berlari berloncatan menuju ke tiang menara dan mula memanjat. Namun, kaki tiang yang begitu tinggi membuatkan tidak semua mampu mencapainya. Riuh rendah penonton yang menyaksikan perlumbaan tersebut melemahkan semangat dan mental peserta. Mana tidaknya, penonton-penonton terdiri daripada katak-katak yang berfikiran pesimis dan berteriak: “Sudah!!! Sudahhh!!!! Balik!!! Tidak mungkin dipanjat menara setinggi itu!!!” Jerit mereka.
Sekonyong-konyong, maka daripada 100 ekor tersebut, 50 ekor daripada mereka berjaya melepasi tiang yang pertama.

Tanpa menghiraukan penat dan lelah, mereka terus mencuba untuk melepasi tiang yang kedua. Tiang yang kedua ini lebih tinggi berbanding tiang yang pertama. Bersusah-payah peserta-peserta memanjat tiang tersebut. Dari kejauhan makin kuat sorakan daripada penonton: “Cukup!!! Berhenti!!!! Balikk!!! Itu perkara mustahil!!!”

Hal ini membuatkan kesemua peserta yang berjaya melepasi tiang pertama tadi menjadi lemah semangat dan berpatah arang. Akhirnya yang berjaya melepasi tiang kedua ini hanyalah 10 ekor. Selebihnya mengalami kelelahan, berputus asa dan turun kembali ke tanah.

Penonton menyoraki kesepuluh peserta yang berjaya melepasi tiang kedua. Namun, tiang ketiga tidak semudah yang disangkakan. Jaraknya jauh lebih tinggi berbanding tiang pertama dan kedua. Pada ketinggian itu juga, angin bertiup lebih kencang. Ditambah lagi dengan kondisi para peserta yang rata-ratanya telah mengalami keletihan yang amat sangat.

Melihat peserta yang lelah dan letih, penonton-penonton yang pesimis kembali berteriak: “Sudah!!! Tak mungkin!!! Bahaya jatuh nanti!!!! Lekas turun!!!!” Mereka berteriak sebegitu hingga lantas hampir semua peserta menyerah dan turun.
Namun, ada seekor katak yang terus cuba memanjat tanpa mempedulikan langsung teriakan para penonton: “Ayuhhh!!!! Lekas turun!!!!” Ia terus mencuba dan mencuba. Tampak keringatnya bercucuran diterbangkan angin kencang, tetapi ia tidak peduli.
Para penonton semakin mengalami histeria, terus meneriaki katak yang seekor ini, namun ia tetap mencuba dan mencuba, sehingga akhirnya: “Berjaya!!!” Teriak si katak dari atas puncak menara yang sayup-sayup kedengaran, sambil membuang kapas yang disumbatkan ke dalam telinganya.
Rupa-rupanya, si katak tersebut tidak mendengar sedikit pun teriakan daripada penonton tadi kerana telinganya telah disumbat dengan kapas. Rahsia kejayaannya hanya dengan fokus kepada matlamat dan destinasi yang ingin dicapainya!

TIPS UNTUK MENINGKATKAN FOKUS DAN KONSENTRASI

Secara umumnya, rahsia kebanyakan pelajar yang cemerlang adalah fokus dalam belajar. Mindanya ketika belajar adalah dalam keadaan yang sedar dan penuh konsentrasi terhadap subjek yang sedang dipelajari.

Namun hal sedemikian adalah tidak mudah. Fokus atau konsentrasi adalah kemahiran yang tidak wujud secara semulajadi dalam diri manusia. Ia adalah sesuatu yang perlu dibina, sama seperti khusyu’ di dalam solat.

Pernah dengar tak kisah seorang ahli ibadat, Hatim Al-Isam yang berkongsi rahsia khusyu’ dalam solatnya. Kata Hatim Al-Isam, setiap kali beliau solat, beliau akan membayangkan bahawa ALLAH SWT ada di hadapannya, syurga di sebelah kanannya, neraka di sebelah kirinya, malaikat maut di belakangnya, dan dibayangkan pula seolah-olah beliau berada di atas titian sirat.


Kita juga boleh mengaplikasikannya sewaktu belajar. Bayangkan kejayaan ada di hadapan, di kanan ada ibu dan bapa yang sentiasa memberi sokongan, di kiri ada kawan-kawan seperjuangan dan di belakang adalah kegagalan yang kita ingin lari daripadanya. Bayangkan pula kita sedang melalui jalan yang penuh onak dan duri, tatkala merasa letih dan lelah, semua itu lumrah.
Kefokusan tidak akan datang dengan sendirinya, sebaliknya ia perlu dipaksa. Pada lazimnya, seseorang yang memaksa dirinya untuk fokus, akan berjaya menemui titik fokus tersebut (threshold point) dan apabila telah melepasi titik tersebut, lazimnya, ia akan merasakan teruja dan sukar pula untuk berhenti.


KESIMPULAN

Jika kita fokus kepada matlamat yang ingin dicapai, kejayaan bukanlah sesuatu yang mustahil dicapai. Fokus pada matlamat sebenarnya memberikan tenaga untuk melakukan sesuatu pekerjaan, bahkan melupakan kita kepada rintangan dan halangan yang ada di sepanjang perjalanan.
Sabda Rasulullah SAW: “Sesungguhnya ALLAH SWT suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu pekerjaan itu dengan bersungguh-sungguh.” – Riwayat Al-Baihaqi.

Sumber : Psipum.org 

Supplement memudaratkan kesihatan??

Ibu mengandung : vitamin yang penting dan vitamin yang TIDAK BOLEH diambil.

Total Wellness Connection.

 

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...