^^JOM SINGGAH^^

JOM SINGGAH on Facebook

Jun 4, 2012

Persandingan dalam taman

Nur Fasha Sandha Hassan di lokasi persandingannya bersama lelaki yang berjaya menambat jiwanya, Rizal Ashram Ramli.
Nur Fasha Sandha Hassan di lokasi persandingannya bersama lelaki yang berjaya menambat jiwanya, Rizal Ashram Ramli. 
MERENTASI ladang tebu saujana mata memandang di Padang Besar, Perlis dan kemudian melewati pemandangan indah di pekan kecil, begitu mengundang rasa damai pada setiap pengembara.

Memang betullah kata-kata pengantin perempuan, Nur Fasha Sandha Hassan bahawa kampung halamannya begitu cantik untuk dijadikan lokasi persandingannya bersama lelaki yang berjaya menambat jiwanya, Rizal Ashram Ramli.


   
  • Foto
  • Foto
  • Foto
  • Foto
Lantas petang Ahad lalu, berlatar belakangkan Tasik Timah Tasoh luas dengan persekitaran keliling banjaran bukit, Fasha dan suaminya, Rizal sekali lagi diraikan dalam majlis resepsi untuk sebelah keluarga perempuan dengan meriah.

Pasangan yang diijabkabulkan pada 27 April lalu dalam majlis pernikahan tertutup di Hotel Crowne Plaza, Kuala Lumpur itu tampil dalam persalinan Melayu tradisional sentuhan pereka fesyen, Rizman Ruzaini di depan kira-kira 2,000 tetamu yang terdiri daripada kalangan keluarga, sahabat, teman media dan peminat daripada kelab We Love Fasha Sandha.


Ujar Fasha yang ditemui pada majlis persandingannya itu, segala perancangan dan persiapan untuk majlis ini disiapkan ibunya yang mesra disapa Mama saja.

Bukan enggan mengambil tahu atau mengendahkannya, namun menurut bintang filem berusia 28 tahun ini, Mama memang ingin mengaturkan persiapan majlis resepsi di Perlis itu kerana semata-mata ingin meraikan keluarga dan sanak-saudara.

“Alhamdulillah semuanya sudah selamat dan berjalan lancar. Saya sangat seronok kerana akhirnya diraikan di kampung halaman sendiri. Rizal sendiri begitu seronok apabila berpeluang bertemu semua keluarga saya di sini. Ini semua adalah usaha Mama dari pemilihan lokasi hinggalah atur cara majlis,” katanya.

Tambah Fasha yang ‘bunting pelamin’, dia rasa amat bertuah kerana dikurniakan suami yang begitu menyayangi dan memahaminya.

“Pejam celik sudah lebih sebulan kami bersama sebagai suami isteri. Saya bersyukur kerana Rizal seorang yang matang dan tidak henti berada di belakang saya menerima baik dan buruk yang ada. Itulah sifatnya yang berjaya menarik perhatian saya,” katanya yang mengakui mengenali Rizal sejak lebih tujuh tahun lalu, namun mula berkawan rapat kira-kira dua tahun lalu.

Majlis persandingan Fasha pada petang Ahad lalu turut dihadiri tetamu kehormat seperti bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim dan beberapa orang kenamaan lain selain keluarga serta teman-teman yang sanggup datang jauh dari Kuala Lumpur.

Menjamu selera dengan menu masakan kampung yang lazat sambil memerhatikan kedua-dua mempelai makan beradab dan kemudian ke sesi memotong kek, majlis persandingan ini dianggap begitu indah.

Fasha dan Rizal tiba jam 2 petang diiringi rombongan kereta mini dan motosikal berkuasa tinggi. Selain disambut dengan paluan kompang dan tarian tradisional, pasangan pengantin turut dinantikan semua tetamu yang ingin merakamkan foto bersama.

Menurut Rizal atau lebih dikenali sebagai Jejai, inilah pertama kali dia diraikan sebegitu gemilang oleh sanak-saudara Fasha selain bersanding di tengah taman rekreasi yang begitu cantik.

Menyifatkan majlis persandingan ini adalah simbolik bagi menghargai keluarga yang tidak henti mendoakan kebahagiaan, Rizal yang juga ahli perniagaan berusia 36 tahun bersyukur kerana bukan saja mereka berdua diraikan, sebaliknya kali ini pelamin yang tersergam indah itu turut meraikan kandungan Fasha yang kini berusia tiga minggu.

Menurutnya yang menghalang Fasha mengenakan kasut tumit tinggi bagi menjaga kandungan sulung ini, persandingan ini adalah cukup istimewa dan memberikannya pengalaman terindah.

“Kegembiraan saya apabila mendengar berita Fasha �mengandung sudah tidak mampu saya terjemahkan �dengan kata-kata. Lantas apabila kami diraikan sebegini meriah, saya merasakan ia adalah rezeki anak sulung kami berdua yang juga kami raikan sekali.

“Alhamdulillah rezeki buat kami datang awal dan ketika kami berada di atas pelamin, ia adalah erti kebahagiaan buat kami bertiga,” katanya yang bersyukur dengan berita isterinya hamil.

Menyentuh soal kerjayanya, Fasha yang juga pemenang enam kali pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2012 akui terpaksa mengurangkan aktiviti seninya atas nasihat suami yang lebih selesa jika dirinya berehat.

“Saya terpaksa menolak watak utama sebagai Serakit untuk sebuah drama bersiri tayangan TV3 kerana terlalu banyak babak aksi seram dan Rizal tidak mahu saya melakukannya kerana bimbang kesihatan anak dalam kandungan ini.

“Namun, Rizal tidak pernah menghalang kalau saya ingin kekal aktif asalkan tahu akan tanggungjawab dan komitmen sebagai isteri kepadanya. Namun, saya sendiri yang mengambil inisiatif untuk me�ngurangkannya kerana ingin meletakkan sepenuh fokus kepada keluarga.

“Insya-Allah saya akan kembali ke lokasi drama baru Julai ini,” katanya.

Rizal dan Fasha sebelum ini sempat meluangkan masa empat hari untuk berbulan madu di Pulau Redang, Terengganu. Persandingan meriah Fasha dan Rizal pada hari itu dikendalikan pengacara Wanita Hari Ini (WHI), Fiza.

Sumber - hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...