^^JOM SINGGAH^^

JOM SINGGAH on Facebook

Feb 29, 2012

Harian Metro : Fibroid tak halang kehamilan

SAYA berusia 31 tahun dan sudah berkahwin tiga tahun, hingga kini belum dikurniakan zuriat. Saya dan suami tidak pernah membuat pemeriksaan di klinik. Baru-baru ini saya dimasukkan ke hospital dan doktor mengesahkan saya mempunyai apendiks dan fibroid.

Saya selamat menjalani pembedahan membuang apendiks, tetapi doktor tidak membuang fibroid. Doktor memberitahu, fibroid itu kecil dan tidak berbahaya.

Tetapi saya risau hingga kini saya belum dikurniakan cahaya mata. Bermacam ubat saya makan untuk mendapatkan anak.

Sekiranya fibroid itu tidak dibuang, adakah peluang untuk saya hamil tipis?

Semoga doktor dapat memberi pandangan.


IDA,
Seremban, Negeri Sembilan.




APABILA fibroid dikesan sewaktu pembedahan dan saiznya kecil saja, ia lazimnya fibroid jenis subserosa (membonjol ke permukaan luar dari dinding rahim).

Fibroid yang tidak mengganggu ruang dalaman rahim lazimnya tidak mengganggu peluang kehamilan, lebih-lebih lagi ia bersaiz kecil.

Dalam keadaan ini, ada doktor yang memilih untuk turut membuangnya memandangkan pembedahan atau pembiusan sedang berlangsung, ada yang memilih untuk tidak membuangnya bagi mengelakkan risiko pendarahan.

Apa yang lebih penting adalah untuk mengetahui sama ada terdapat penyakit endometriosis yang lazimnya boleh seiringan dengan penyakit fibroid.

Pada masa sama, doktor juga boleh menilai keadaan dalam ruang pelvis dan organ pelvis yang berkait dengan kehamilan.

Kini semakin ramai doktor yang melakukan pembedahan membuang apendiks menggunakan kaedah laparoskopi, ia dapat memberi maklumat lebih banyak mengenai keadaan ruang pelvis seseorang, malah juga keadaan ruang abdomen.

Eloklah anda berjumpa pakar sakit puan berhampiran untuk mendapatkan pemeriksaan kesuburan memandangkan tempoh mencuba sudah melebihi setahun.

Source - http://www.hmetro.com.my/

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...