^^JOM SINGGAH^^

JOM SINGGAH on Facebook

Feb 17, 2012

Rahsia 7

Ketahuilah bahawa Zat Pencipta, Yang sangat besar kekuasaanNya, dan sangat tinggi kalimatNya serta bersinambungan nikmatNya, telah menghiasi TUJUH perkara dengan TUJUH perkara, dan menghiasinya pula bagi tiap-tiap yang TUJUH perkara itu dengan TUJUH perkara yang lainnya, untuk memberitahukan kepada orang-orang yang berilmu bahawanya angka TUJUH itu mempunyai rahsia yang sangat besar dan kedudukan yang agung di sisi Allah swt., Maharaja dan Pemimpin yang memiliki kemudharatan dan kemanfaatan.

Pertama Allah swt. telah menghiasi udara dengan TUJUH lapis langit. Firman Allah swt. di dalam Surah An-Naba’ ayat 12

Dan Kami telah membina di atas kamu TUJUH petala (langit) yang kuat kukuh

Kemudian Allah swt. menghiasi langit dengan bintang TUJUH. Firman Allah swt. di dalam Surah Al-Hijr ayat 16

Dan demi sesungguhnya! Kami telah menjadikan di langit bintang-bintang (yang berbagai bentuk dan keadaan) serta kami hiasi langit itu bagi orang-orang yang melihatnya

Kedua Allah swt. telah menghiasi padang yang lapang dengan TUJUH lapis bumi. Firman Allah swt. di dalam Surah At-Talaaq ayat 12

Allah yang menciptakan TUJUH petala langit dan (Ia menciptakan) bumi seperti itu; perintah Allah berlaku terus menerus di antara alam langit dan bumi. (Berlakunya yang demikian) supaya kamu mengetahui bahawa sesungguhnya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu, dan bahawa sesungguhnya Allah tetap meliputi ilmuNya akan tiap-tiap sesuatu

Kemudian Allah swt. menghiasi bumi itu dengan TUJUH lautan. Sebagaimana firmanNya di dalam Surah Luqman ayat 27

Dan sekiranya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena, dan segala lautan (menjadi tinta), dengan dibantu kepadanya TUJUH lautan lagi sesudah itu, nescaya tidak akan habis Kalimah-kalimah Allah itu ditulis. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana

Ketiga Allah swt. telah menghiasi neraka dengan TUJUH tingkat iaitu Jahannam, Sa’iir, Saqar, Jahiim, Hurhamah, Ladhaa dan Hawiyah. Kemudian Allah menghiasinya dengan TUJUH pintu, sebagaimana firmanNya yang di dalam Surah Al-Hijr ayat 44

“Ia mempunyai TUJUH pintu; bagi tiap-tiap sebuah pintu ada bahagian yang tertentu dari mereka (yang sesat dan menyesatkan itu)”

Keempat Allah swt. telah menghiasi Al-Quran dengan TUJUH surah yang panjang, kemudian munghiasinya pula dengan TUJUH ayat pembuka kitab (faatihatul- kitaab). FirmanNya di dalam Surah Al-Hijr ayat 87

[87] Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepadamu (wahai Muhammad) TUJUH ayat yang diulang-ulang bacaannya dan seluruh Al-Quran yang amat besar kemuliaan dan faedahnya

Kelima Allah swt. menghiasi manusia dengan TUJUH angggota badan iaitu, dua tangan, dua kaki, dua lutut dan satu wajah. Kemudian Allah swt. menghiasinya dengan TUJUH peribadatan iaitu dua tangan dengan doa, dua kaki dengan berkhidmat, dua lutut dengan duduk dan muka dengan sujud. FirmanNya di dalam Surah Al-’Alaq ayat 19

Ingatlah! Janganlah engkau (wahai Muhammad) menurut kehendaknya, dan (sebaliknya) sujudlah dan dampingkanlah dirimu kepada Allah (dengan taat dan beramal soleh)!

Keenam Allah swt. menghiasi umur manusia dengan TUJUH peringkat. Pada masa lahir disebut “radli”, kemudian ‘farhim’, kemudian ‘kuhul’, kemudian ’syaikh’. Dan menghiasi TUJUH peringkat umur ini dengan TUJUH kalimat iaitu Ucapan Laa Ilaaha Illallaah Muhammad Rasuulullaah Firman Allah swt. di dalam Surah Al-Fath ayat 26

(Ingatlah dan kenangkanlah ihsan Tuhan kepada kamu) ketika orang-orang yang kafir itu menimbulkan perasaan sombong angkuh yang ada dalam hati mereka (terhadap kebenaran Islam) – perasaan sombong angkuh secara Jahiliyah (yang menyebabkan kamu panas hati dan terharu), lalu Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada RasulNya dan kepada orang-orang yang beriman (sehingga tercapailah perdamaian), serta meminta mereka tetap berpegang kepada “Kalimah Taqwa”, sedang mereka (di sisi Allah) adalah orang-orang yang sangat berhak dengan “kalimah Taqwa” itu serta menjadi ahlinya. Dan (ingatlah), Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu

Ketujuh Allah swt. menghiasi dunia dengan TUJUH negeri yang besar iaitu pertama: Hindustan, kedua: Hijaz, ketiga: Bashrah, Badiyah dan Kufah, keempat: Iraq, Syam, Khurasan sampai ke Balakh, kelima: Roma dan Armenia, keenam: Negeri Ya’juj dan Ma’juj, ketujuh: China dan Turkistan

Kemudian Allah swt. menghiasi TUJUH negeri itu dengan TUJUH hari iaitu Sabtu, Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis dan Jumaat. Dan Allah swt. memuliakan dengan ketujuh hari itu dari para Nabi iaitu Allah memuliakan Nabi Musa as. dengan hari Sabtu, Nabi Isa bin Maryam as. dengan hari Ahad, Nabi Daud as. dan Nabi Syith as. dengan hari Isnin, Nabi Sulaiman as. dengan hari Selasa, Nabi Salleh as. dengan hari Rabu, Nabi Ya’kub as. dan Nabi Ibrahim as. dengan hari Khamis dan Nabi Muhammad saw. dan umatnya dengan hari Jumaat

Sumber - Kelakar@yahoogroup.com

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...