KOTA BHARU - Penduduk termasuk nelayan di daerah Bachok berpeluang
mendapatkan lesen menunggang motosikal kelas B2 dengan kos yang lebih
murah melalui program anjuran Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu
Satu Komuniti Satu JPJ, awal bulan depan.
Pengarah JPJ Kelantan, Abdul Ghani Che Kassim berkata, keutamaan
diberikan kepada mereka yang berumur 45 tahun ke atas dan peserta hanya
perlu membayar RM150 seorang untuk mendapatkan lesen tersebut berbanding
lebih RM300 jika mereka menggunakan perkhidmatan akademi sekolah
memandu.
"Walau pun mereka perlu menjalani ujian mengikut prosedur JPJ tetapi
ia dapat menjimatkan perbelanjaan dan mengurangkan tempoh masa menunggu
yang agak lama untuk mendapatkan lesen tersebut,” katanya di sini hari
ini.
Abdul Ghani berkata, pada program tersebut, orang ramai juga boleh
mendapatkan perkhidmatan lain yang disediakan JPJ seperti pemeriksaan
kenderaan, membayar kompaun saman trafik, memperbaharui lesen memandu
dan membayar cukai jalan.
Beliau berkata, program “turun padang” itu adalah bagi membantu orang
ramai terutamanya penduduk di kawasan luar bandar yang berpendapatan
rendah, memiliki lesen menunggang motosikal kelas B2. - BERNAMA