Menyedari impak besar Sudirman yang pernah mendapat jolokan Penghibur Milik Masyarakat dan Seniman Rakyat itu, Astro melancarkan kempen ‘Aku Sudirman’ sejak 11 Mei lalu.
Hampir sebulan berlangsung, kempen memberi peluang kepada generasi muda untuk lebih mengenali siapa Sudirman dan perjuangannya sampai ke kemuncak.
Sehubungan itu, pada Ahad ini, jam 8.30 malam akan berlangsung Konsert Kenangan Aku Sudirman di Stadium Bola Sepak, Cheras, Kuala Lumpur yang membabitkan artis popular tanah air seperti Datuk Siti Nurhaliza, Datuk AC Mizal, Jaclyn Victor, Ziana Zain, Misha Omar, Hafiz, Adira, Azlan and The Typewriter, Hujan, Hazama, Alyah, Rahim Maarof dan Osbon.
Tidak ketinggalan, konsert itu turut disertai barisan pelakon filem HOORE! HOORE! arahan Saw Teong Hin seperti Akim, Kilafairy dan bintang baru, Norfarah.
Mengimbau sejarah lalu, ketika hayatnya Sudirman pernah menempa nama dalam Malaysia Book of Records pada 1986 kerana kejayaan mengadakan konsert gergasi percuma di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur. Konsert menghiburkan itu berjaya memukau hampir 100,000 warga kota yang hadir.
Bukan itu saja, Sudirman yang juga anak jati Pahang berjaya melengkapkan coretan indah pada era kegemilangannya apabila menjadi artis pertama memenangi Anugerah Penyanyi Asia di Albert Hall, London pada 1989. Hingga kini, kejayaan itu menjadi kebanggaan negara.
Bagaikan ‘mutiara’ yang bersinar, Sudirman cukup dikenali penyanyi, penghibur, penggubah lagu, peguam, penulis, pengarang (buku kanak-kanak), pelukis kartun, usahawan dan pelakon. Malah, sepanjang pembabitan arwah dalam industri muzik, sebanyak 168 buah lagu sudah dirakamkan.
Melengkapi pelbagai genre lagu, Sudirman berjaya menyemarakkan semangat patriotik ke dalam jiwa masyarakat menerusi sumbangan seninya. Ini berikutan, kebanyakan lirik lagu Sudirman cukup menyentuh jiwa masyarakat.
Oleh itu, bagi melengkapkan kempen khas anjuran Astro, kerjasama dijalin dengan syarikat rakaman Warner Music Malaysia Sdn Bhd untuk menerbitkan album Aku Sudirman - Satu Interpretasi yang memuatkan lagu popular arwah. Antara artis generasi muda terbabit seperti AwanBand, The Kebayas (Suki, Adira, Shamini), XPDC Junior, Hujan, Altimet & DJ Fuzz dan Taxi.
Album yang diberi nama Aku Sudirman - Suatu Interpretasi itu sudah berada di pasaran sejak hujung Mei lalu.
Di platform TV juga, Astro melalui saluran Astro Ria, Astro Prima, Astro Awani dan Hitz TV berselang-seli menayangkan program berkaitan Allahyarham seperti Di Sebalik Pembikinan Filem HOORE! HOORE!, Trek Selebriti Sudirman, Cerita Artis Malaysia (Noorkumalasari), Konsert Hoore Hoore Aznil, filem Kami.
Pastinya, kenangan dan semangat juang yang tinggi Allahyarham Sudirman kini dapat dirasakan generasi muda tanah air selepas mengetahui latar belakang penyanyi bertubuh genit itu.
Sempena kempen ini juga Harian Metro sebagai rakan media rasmi memberi peluang kepada pembaca memperoleh dua keping tiket untuk menyaksikan Konsert Kenangan Aku Sudirman di bahagian hadapan pentas.
Hanya membawa satu keratan asal artikel ini, penukaran perlu dibuat esok, Jumaat (1 Jun 2012), bertempat di lobi Balai Berita The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad, 31, Jalan Riong, Kuala Lumpur bermula jam 10 pagi.
Selain tiket, turut ditawar 100 helai t-shirt, 100 bekas minuman dan 15 unit album Aku Sudirman - Satu Interpretasi bagi pembaca yang datang membuat pertukaran awal.
Memandangkan jumlah tiket dan cenderamata yang terhad sila buat penebusan dengan segera dan berkonsepkan ‘siapa cepat, dia dapat’.
Sumber - hmetro.com.my
No comments:
Post a Comment